Lupakah UMNO & PAS Mereka Tidak Undi Sabah Jadi Wilayah?

MEMBAKUT: Masih ingatkah UMNO dan Pas pada 9 April 2019, ketika rakyat Sabah memerlukan wakil rakyat parti itu menyokong Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 tetapi mereka menolaknya?

Pada waktu itu, jika RUU diluluskan di Dewan Rakyat, Sabah akan dinaik taraf menjadi rakan sekutu Semenanjung yang memudahkan negeri ini menuntut hak-hak seperti terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi UMNO dan Pas tidak menyokongnya.

Tetapi ketika rakyat Sabah memerlukan, tiada seorang pun daripada wakil rakyat UMNO dan Pas yang mengundi untuk menyokong, namun apabila tiba Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, berpusu-pusu pula pemimpin mereka hadir berceramah merayu undi orang Sabah.

Itulah peringatan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kepada setiap pengundi Kimanis yang berhasrat untuk menyokong Barisan Nasional (BN) agar tidak terpengaruh dengan sikap hipokrasi pemimpin parti tersebut.

“Insya Allah tahun ini banyak keputusan kita akan ambil termasuk rang undang-undang Perlembagaan Malaysia iaitu kedudukan negeri Sabah kita akan kembalikan sebagai sebuah wilayah bukan negeri daam Malaysia.

“Ini kita akan perjuangkan dan pertahankan insya Allah dalam sesi Parlimen tahun ini kita telah bawa, kita telah bincang tahun lalu dengan Tun Dr. Mahathir dan Ketua Menteri Sarawak dan kita akan bawa ke Parlimen mudah-mudahan kita akan bawa maka mendapat sokongan yang ada.

“Yang menolaknya siapa, yang menolaknya Pas, yang menolaknya UMNO untuk mengembalikan kedudukan negeri Sabah sebagai sebuah wilayah, kita mahu sokong UMNO di Kimanis yang mahu menolak kedudukan Sabah,” katanya ketika berucap dalam majlis Sambutan Perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2020 di Pekan Membakut hari ini.

Mohd. Shafie berkata, cukup-cukuplah UMNO mahu menjadi tuan kepada rakyat negeri Sabah kerana selama ini mereka tidak memerlukan apa-apa untuk membela hak-hak negeri ini agar ditunaikan.

Sehubungan itu katanya, dalam PRK ini, rakyat perlu mengundi calon Warisan, Datuk Karim Bujang kerana beliau adalah orang Sabah sejati daripada parti rakyat Sabah bukannya calon BN yang terpaksa mengikut telunjuk parti dari Kuala Lumpur.

“Yang penting kepada kita seperti saya nyatakan pilihan raya kali ini saya merayu kepada orang Sabah mukanya orang Sabah hati dan jantungnya orang Sabah, mukanya orang Sabah, hatinya orang Sabah jangan mukanya orang Sabah hatinya UMNO Kuala Lumpur.

“Ini yang kita mahu kerana itu akan boleh membangunkan menyatukan rakyat di bumi Sabah ini, penting kepada kita saya selaku Ketua Menteri sahaja tidak akan dapat membangunkan negeri Sabah sendiri tanpa ada kerjasama semua pihak yang ada kita perlu rakan-rakan kita,” tegasnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *