
MEMBAKUT: Kemenangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis akan memudahkan segala usaha Kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan ke kawasan itu.
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida Kamaruddin berkata, kemudahan-kemudahan asas di kawasan itu masih lagi jauh ketinggalan dan hanya kemenangan calon Warisan dapat memudahkan urusan untuk menyalurkan bantuan.

“Kemudahan-kemudahan asas seperti kemudahan air, elektrik, jalan dan sebagainya masih lagi ketinggalan di Kimanis.
“Jadi ini antara isu yang memberi keyakinan kepada pengundi Kimanis bahawa dengan mengangkat Datuk Karim Bujang sebagai Ahli Parlimen, ia akan memudahkan Kerajaan Pusat menyalurkan bantuan kepada kerajaan negeri,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pelancaran Jentera Wanita Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis di Pejabat Bersatu Kimanis, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, sejak kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Kerajaan Persekutuan telah mula bekerja dalam memastikan pembangunan infrastruktur yang lebih efektif diberikan khususnya di kawasan seperti Kimanis.
Tambahnya, pihaknya juga akan melihat dan mengkaji bagaimana bantuan daripada segi perumahan dapat dilaksanakan di daerah ini.
BorneoToday