Masalah Petani, Nelayan Di Kimanis Akan Selesai

KIMANIS: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong meluangkan masa lebih dua jam berdialog bersama golongan petani di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut bagi mendengar rintihan mereka dan mencari jalan penyelesaian semalam.

Junz berkata, dalam pertemuan itu, golongan tersebut menyatakan masalah utama yang dihadapi petani di daerah ini ialah perubahan monsun serta meminta kerajaan mengatasi kelemahan sistem pengairan, penggunaan jentera dan kerosakan tanaman.

“Saya berjanji untuk mengambil tindakan sewajarnya memperbetulkan masalah itu, membantu mereka sebaik mungkin kerana ini tanggungjawab saya,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Junz turut disertai Pembantunya, Ben Chong dan pegawai-pegawai kanan agensi berkaitan serta kementeriannya.

Selepas dialog berkenaan, Junz kemudiannya berkunjung ke Jeti Persatuan Nelayan di Kampung Binsulok bagi membincangkan pembinaan baharu jeti bersepadu di situ.

Beliau berkata, pembinaan jeti pelbagai guna itu membolehkan nelayan menjual terus hasil tangkapan mereka di situ untuk meraih keuntungan yang seterusnya menghapuskan penglibatan orang tengah.

“Memang ada banyak rancangan untuk majukan kawasan Binsuluk dan khasnya di Kimanis. Binsuluk ini kita sudah lawat,  kita akan bangunkan jeti bersepadu yang ada dalam Pelan Pembangunan Pertanian kita.

“Ertinya dia bukan sahaja jeti untuk nelayan itu tetapi dia ada satu fasiliti di mana nelayan boleh terus jual ikan dan itu penting kerana selalunya nelayan dapat pendapatan yang rendah sebab dia melalui orang tengah, “katanya.

Sementara itu, dalam pertemuan berkenaan, Junz menekankan kepada keperluan untuk membina banyak tukun di sepanjang pantai Kuala Penyu sehingga ke Kimanis dan Papar bagi meningkatkan habitat hasil laut.

Katanya, sebelum ini, kerajaan lama hanya membina kira-kira 10 tukun setahun, namun jumlah itu terlalu sedikit.

“Saya berjanji untuk mencari dana membina sekurang-kurangnya 30 hingga 50 tukun setahun dari Kuala Penyu ke Papar.

“Ini bukan sahaja meningkatkan hasil tangkapan nelayan serta turut menghalang aktiviti pukat tunda kerana pukat itu akan dirosakkan oleh tukun,” katanya.

BorneoToday

868