4 Lelaki Tempatan Ditahan Bersama 6.30 Gram Dadah Di Papar

Empat suspek yang ditahan dalam operasi pencegahan dadah di Kampung Kuala Papar.

PAPAR: Polis berjaya menahan empat lelaki warga tempatan dalam satu operasi yang dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Papar di Kampung Kuala Papar di sini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata pihaknya turut merampas 6.30 gram dadah jenis syabu dan amphetamine sepanjang operasi dilaksanakan.

“Kesemua suspek termasuk pengedar dadah terbabit kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya kejayaan ini adalah salah satu usaha PDRM khususnya IPD Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah seterusnya mencegah jenayah di daerah ini.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah dengan kadar segera kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Utusan Borneo

811