BEAUFORT: Parti Warisan Sabah (WARISAN) yakin Barisan Nasional (BN) dapat ditumbangkan hasil kerjasama dengan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) serta semua parti dalam Pakatan Harapan (PH).
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Presiden WARISAN, berkata PH akan membuktikan kesatuan mereka ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis bagi menumbangkan BN.
“Kita nak tunjukkan PRK Kimanis ini dengan kesatuan, kita dapat tumbangkan BN. Cukup-cukuplah BN bertapak di bumi Sabah.
“Mereka (BN) sudah memerintah bertahun-tahun dan saya juga bekas naib presiden… cukuplah. WARISAN adalah parti yang berasal dari bumi Sabah dan kita berharap akan mendapat sokongan daripada rakyat Kimanis.
“Bagaimanapun, kita tidak perlu berasa selesa atau angkuh tetapi kita yakin kita dapat melakukan perubahan di Sabah dengan lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman calon bagi PRK Kimanis di Dewan Datuk Sri Panglima Mohd Dun Banir, di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, turut hadir pada penamaan calon itu.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, ia sudah dibuktikan dengan kekalahan BN yang bertahun-tahun memerintah di Sabah pada pilihan raya lalu.
“Jika di Sandakan calon DAP boleh menang pada PRK lalu, tak kan di Kimanis tidak boleh menang? Tapi kita kena kerja keras dan kita tidak boleh berasa selesa. Sebab itu, amat penting kerjasama dalam kesatuan ini,” katanya.
Mohd Shafe berkata proses penamaan calon juga berjalan lancar tanpa ada sebarang kejadian atau gangguan yang tidak diingini.
“Ini adalah satu daripada sistem demokrasi yang kita amalkan di negara ini dan boleh katakan kepada dunia bahawa Malaysia mengamalkan (proses demokrasi) dengan baik yang mana kita serahkan kepada rakyat untuk memilih wakil mereka,” katanya.
PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon WARISAN, Datuk Karim Bujang dengan Datuk Mohamad Alamin daripada BN.
PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman terbatal kerana pelanggaran peraturan pilihan raya.
Anifah menewaskan calon WARISAN, Karim, dengan majoriti 156 undi.
PRK Kimanis akan diadakan pada 18 Januari ini dan pengundian awal dijalankan pada 14 Januari ini.
Berita Harian