BEAUFORT: Suasana di perkarangan luar Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir dekat sini sedikit tegang dan kecoh semasa proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis apabila penyokong daripada kedua-dua parti, Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengeluarkan kata-kata ejekan.
Pelbagai ungkapan dilaungkan parti pembangkang dan pemerintah menunjukkan kedua-dua kumpulan penyokong tidak putus-putus berbalas ‘serangan’ kerana masing-masing mereka ingin menunjukkan sorakan paling kuat.
Semakin rancak sorakan, masing-masing tidak menyedari betapa hampirnya mereka dan mujur, anggota keselamatan yang berada di lokasi bertindak pantas mengawal daripada berlaku ‘pertembungan’ di antara dua kumpulan penyokong.
Tindakan pasukan keselamatan, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pantas memisahkan di antara dua kumpulan penyokong yang jaraknya hanyalah 15 meter.
Wartawan yang berada dilokasi itu yang kebetulan berada di tengah-tengah antara penyokong bimbang sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini memandangkan ada segelintir penyokong mula bertutur ‘agresif’.
Namun keadaan sedikit reda apabila semakin ramai anggota keselamatan dikerahkan ke lokasi tempat penyokong berhimpun dan kedua-dua penyokong kelihatan semakin tenang bagi menanti pengumuman daripada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis, Jupry Etok.
PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon WARISAN dan BN.
Ketua Bahagian WARISAN Kimanis, Datuk Karim Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin disahkan sebagai calon yang akan bertanding dalam PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari nanti.
Utusan Borneo