Lapan Lagi Balai Bomba Baharu Dibina Di Sabah Tahun Ini

KIMANIS, 4 Jan: Lapan lagi balai bomba baharu bakal dibina di Sabah pada tahun ini, menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata balai bomba baharu berkenaan akan dibina di Putatan, Kudat, Merotai, Nabawan, Lahad Datu, Semporna dan Beaufort.

“Selain itu dua balai bomba di Sabah akan dinaik taraf iaitu balai bomba Kota Belud dan Semporna. Oleh itu kami berharap pembinaan balai bomba baharu ini  akan meningkatkan lagi keberkesanan dan mutu bomba Sabah dalam menangani kecemasan khususnya kebakaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai dan Kuarters Bomba Kimanis di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah.

Mengulas mengenai majlis berkenaan, Zuraida berkata balai bomba Kimanis yang kini menempatkan 30 pegawai dan anggota telah dibina pada Sept 2015, dengan kos RM7.73 juta dan siap sepenuhnya pada Julai 2018.

“Dengan adanya balai bomba baharu ini akan mempercepatkan lagi respons  kecemasan di kawasan Kimanis yang sebelum ini hanya berharap bantuan kecemasan dari balai bomba Papar yang memakan masa perjalanan 45 minit,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata penubuhan Suruhanjaya Perjawatan Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang dicadangkan sebelum ini kini dalam proses perbincangan.

“Suruhanjaya ini yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kini sedang berbincang dengan agensi yang berkaitan. Suruhanjaya ini kelak akan berfungsi sebagai badan bebas untuk melantik, menyusun semula perjawatan dan menyerap anggota bomba sambilan sebagai bomba sepenuh masa.

“Ia seiring usaha kerajaan dalam memartabatkan karier tersebut selain suntikan motivasi kepada anggota untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata tugas bomba kini merangkumi pelbagai tugasan termasuk khidmat kemanusiaan seperti menangkap ular.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *