DAP Minta Bincang Pengganti Maszlee Malik

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

BUTTERWORTH: DAP berharap perbincangan dapat diadakan antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum memutuskan bakal pengganti Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata ini kerana parti itu juga mempunyai pandangan sendiri berhubung perkara berkenaan dan lebih baik ia dibincangkan terlebih dahulu.

“Lebih baik kita bincang bersama dalam mesyuarat PH. Tentu parti ada pandangan masing-masing. (Bincang) itu lebih elok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan projek naik taraf blok 826 Kuarters Kastam Bagan Jermal, di sini, hari ini.

Menjawab spekulasi mengatakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed bakal menggantikan Maszlee, Guan Eng berkata, beliau tidak tahu mengenainya tetapi yakin menteri baru yang bakal dilantik kelak adalah seseorang daripada PH.

Beliau juga enggan mengulas berhubung cadangan sesetengah pihak yang mahu ahli akademik menjadi menteri pendidikan sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Perdanq Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Khamis lalu, Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan pada sidang media khas di Putrajaya, selepas mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.

Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya pada hari sama berkata pengganti Maszlee akan diumumkan sedikit masa lagi.

Berhubung rombakan Kabinet pula, Guan Eng berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan dengan Perdana Menteri biarpun sudah beberapa kali pertemuan diadakan, sebaliknya menyerahkan kepada Dr Mahathir untuk membuat keputusan.

“Selalu jumpa Perdana Menteri tapi perkara ini tidak pernah ditimbulkan.

“Kita selalu bincang tentang urusan berkaitan kementerian kewangan. Apa yang saya bincang dengan Perdana Menteri biarlah sulit,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, sejumlah RM438,000 disalurkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi kementeriannya bagi membaiki lapan unit kuarters kastam di Bagan Jermal.

Katanya, kerja baik pulih siap sepenuhnya dalam tempoh 12 minggu menerusi tender terbuka dan sudah boleh diduduki semula bulan depan.

“Blok ini sudah terbiar dan diabaikan lebih 20 tahun tetapi hari ini kita buat kerja baik pulih supaya ia dapat berfungsi semula dengan baik,” katanya.

Berita Harian

384