793 Anggota Polis Ditugaskan Di PRK Kimanis

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

BEAUFORT, 4 Jan: Polis menempatkan 793 pegawai dan anggotanya bagi mengawal keselamatan sepanjang tempoh berkempen 14 hari bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang bermula hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata pada proses penamaan calon pagi tadi, tiada sebarang insiden berlaku dan tiada laporan polis diterima daripada mana-mana pihak berhubung perjalanan proses itu.

“Saya juga ingin mengingatkan calon bertanding, ejen calon atau penyokong mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh berkempen dan jangan membuat sebarang provokasi atau permusuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon PRK Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini hari ini.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang dan Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan ini dengan hari pengundian awal pada 14 Jan.

BERNAMA

464