Pan Borneo: Najib Dakwa PH Sekat Pembangunan Ekonomi Sabah

Bekas Perdana Menteri Najib Razak mendakwa Pakatan Harapan (PH) telah menyekat usaha BN untuk menukar landskap ekonomi rakyat Sabah apabila projek raksasa lebuh raya Pan Borneo kini terbengkalai.

Najib berkata, projek mega berkenaan adalah hadiah kerajaan BN kepada rakyat Sabah dengan membina lebuh raya tanpa tol.

“Ada dua isu utama yang berkisar sebelum pilihan raya kecil ini, pertama yang saya dapat lihat sendiri jalan Pan Borneo yang terbengkalai.

“Ini projek raksasa zaman BN masa saya jadi perdana menteri, hasrat saya ini satu hadiah kepada rakyat Sabah, yang akan menukar landskap ekonomi Sabah, tambahan tidak dikenakan tol.Iklan

“Tapi bila PH ambil alih mereka telah ubah kaedah pelaksanaan kononnya mahu jimat kos sebanyak RM1 bilion, tapi tak mungkin jadi kenyataan,” katanya ketika sidang media, di Membakut, hari ini.

Terdahulu Najib yang tiba di Sabah tengah hari tadi menunaikan solat Jumaat di Putatan dan kemudiannya membuat tinjauan di sekitar Membakut.

Pada 29 Jun tahun lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) dilaporkan akan mengambil alih sepenuhnya pelaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo Sabah menjelang akhir September ini, kata menterinya, Baru Bian.

Beliau berkata KKR akan mengambil alih peranan syarikat rakan penyampai projek (PDP) lebuh raya Pan Borneo Sabah, selepas jumlah yang seharusnya dibayar kepada syarikat berkenaan ditentukan, dan proses pembayaran selesai dilaksanakan.

Menurutnya pembayaran perlu dibuat mengikut tahap kemajuan pembinaan lebuh raya Pan Borneo Sabah yang telah dilaksanakan.

Beliau berkata notis pemberitahuan telah dikeluarkan kepada syarikat PDP untuk memaklumkan bahawa pada masa ini proses menaksir jumlah pembayaran sedang dibuat, dan mereka dibayar berdasarkan kepada kemajuan kerja-kerja pembinaan lebuh raya yang telah dilaksanakan.

“Mereka (syarikat PDP) kini masih melakukan pelbagai kerja, termasuk memantau serta menyelia pembinaan lebuh raya ini. Bagaimanapun setelah notis itu tamat tempoh dalam bulan September ini, maka selepas itu kami (KKR) akan mengambil alih sepenuhnya projek berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan The Pan Borneo Dashboard Application System di Kota Kinabalu.

Najib berkata, jika lebuhraya itu siap ia akan memberi kemudahan kepada masyarakat Kimanis dan mereka boleh berulang alik untuk bekerja di Kota Kinabalu.

Jelasnya, ia secara tidak langsung juga akan memberi suntikan kepada perkembangan ekonomi di bandar-bandar kecil seperti di Kimanis.

Oleh itu, Najib meminta pengundi Kimanis memberikan sokongan penuh kepada calon BN sebagai bantahan terhadap tindakan PH.

Kata Najib, beliau turun ke Kimanis adalah atas kehendak rakyat dan sekali gus memberi sokongan kepada calon BN di Kimanis, Mohamad Alamin.

“Tidak ada siapa dapat nafikan, masa BN kebaikan rakyat diutamakan, sekarang rakyat di suruh ikat perut, tapi menteri akan dapat kereta (Toyota) Vellfire.

“Apa salah pakai kereta Proton. Dulu tuduh BN boros hari ni rakyat dapat lihat sendiri,” katanya lagi.

Sumber: MalaysiaKini

1684