Dua Premis Dikenakan Notis, Gagal Pamer Tanda Notis Larangan Merokok

Amirul (kanan) bersama pegawai dan penguatkuasa ketika mengeluarkan tindakan notis kepada salah satu premis yang diperiksa.

LAHAD DATU: Dua premis restoran yang gagal memaparkan tanda notis larangan merokok dikenakan notis kehadiran ke mahkamah di sini, semalam.

Pegawai Kesihatan Kawasan Lahad Datu, Amirul Hisham Zainol berkata Notis Di Bawah Seksyen 32(B) itu dikenakan berdasarkan Peraturan 12(1)(a) gagal mempamer tanda larangan merokok di premis makanan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang dikuatkuasakan 1 Januari 2020.

Menurutnya, operasi yang disertai 29 penguatkuasa dan lima pegawai telah memeriksa 30 premis sekitar Bandar Tabanak dan Bandar Sri Perdana.

Katanya, sejak 1 Januari sebanyak 90 premis makanan telah diperiksa dan tiada kesalahan dikesan sebelumnya.

“Setakat ini, tahap kesedaran pemilik premis makanan amat baik dan memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Demikian juga di kalangan orang ramai yang didapati tidak merokok di premis makanan dan diharap kesedaran ini berterusan demi kesihatan bersama,” katanya ketika ditemui selepas operasi di sekitar Bandar Sri Perdana, dekat sini, semalam.

Mengulas lanjut, Amirul berkata tempoh operasi penguatkuasaan akan ditingkatkan ke waktu malam dan kawasan pemantauan akan diperluas.

Ianya bagi memastikan orang ramai yang masih berdegil dan tidak mematuhi peraturan dapat dikesan untuk tindakan.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *