PRK Kimanis: Mohamad Alimin Diumum Calon BN

KIMANIS: Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin sah dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Perkara tersebut diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin.

Katanya, pemilihan Mohamad adalah keputusan UMNO Sabah yang telah mendapat kuasa autonomi daripada UMNO Pusat.

“Setelah melakukan empat pusingan memilih calon yang memenuhi kriteria, maka kami memutuskan Mohamad Alamin sebagai calon BN.

“Keputusan ini dibuat atas kuasa autonomi yang kami ada,” katanya sidang akhbar di Bilik Gerakan BN Kimanis hari ini.

Mohamad pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan tetapi tewas di tangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Dr Daud Yusof.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman terbatal kerana pelanggaran peraturan pilihan raya.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 4 Januari dan hari mengundi 18 Januari.

Anifah yang mewakili BN dalam pilihan raya umum 2018 menewaskan calon Warisan, Datuk Karim Bujang dengan majoriti 156 undi.

Beliau yang telah keluar UMNO bagaimanapun dijangka tidak bertanding dalam PRK Kimanis.

1261