Kerajaan Negeri Bantu Mangsa Kebakaran Di Tenom

Peter turut meluangkan masa bersama ahli keluarga mangsa di Masjid Nurul Islamiah sebelum menghadiri upacara pengebumian kesemua mangsa.

TENOM: Kerajaan negeri menyampaikan sumbangan kilat kepada keluarga mangsa tragedi kebakaran di Kampung Menara Pamilan yang mengorbankan lima mangsa termasuk seorang ibu dan tiga anaknya awal pagi ini.

Sumbangan itu diumumkan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony yang hadir ke kampung itu bagi meninjau lokasi kejadian.

Peter meninjau lokasi kebakaran.

Beliau berkata, kerajaan akan turut menanggung perbelanjaan membina semula rumah mangsa yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.

“Di peringkat kita, kita akan cuba membantu mendapatkan semula rumah keluarga walaupun kedudukan yang agak sukar saya berharap supaya mereka dapat menempuh kesedihan ini dengan tabah sekali,” katanya ketika ditemui Borneo Today di lokasi kebakaran.

Beliau turut hadir ke upacara pengebumian semua mangsa di Tanah Perkuburan Islam Pamilan, Tenom.

Terdahulu dalam kejadian pukul 12.40 tengah malam tadi, Khatijah Omar, 32, rentung bersama tiga anaknya iaitu Mohd. Sakiran Sudirman, 11, Zahid, 9, dan Sapura yang berusia 3 tahun.

Unit forensik bomba melakukan siasatan di lokasi kebakaran.

Seorang lagi mangsa yang rentung ialah anak saudaranya, Adira Suhaili, 12, manakala suami mangsa, Sudirman Hajar, 40, melecur di badan dan sedang menerima rawatan di Hospital Tenom.

Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, kerajaan kerajaan menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka dapat melalui tempoh sukar itu.

Katanya, pihaknya dimaklumkan kejadian itu mungkin berpunca daripada litar pintas.

“Setakat ini apa yang dimaklumkan oleh pihak polis dan bomba, kemungkinan berlakunya litar pintas, itupun siasatan masih dijalankan, kita serahkan kepada pihak berwajib sementara menunggu keputusan keseluruhan siasatan,” katanya.

Peter menenangkan ahli keluarga mangsa kebakaran di Kampung Menara Pamilan hari ini.
982