JHL Sabah & WRU Selamatkan Anak Gajah Pygmy Dari Maut

Anak gajah pygmy yang kelihatan tertekan akibat terperangkap di bawah jambatan roboh di Melangking, Sukau. – Foto JHL Sabah

TINDAKAN PANTAS JABATAN HIDUPAN LIAR DAN WRU SELAMATKAN ANAK GAJAH PYGMY DARI MAUT

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar, Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) bersama pekerja ladang kelapa sawit Melangking (MOPP) berjaya menyelamatkan seekor anak gajah pygmy yang terperangkap selepas terjatuh ke dalam parit di Sukau, Kinabatangan pada 27 Disember lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata tindakan pantas pihak Jabatan, WRU dan MOPP harus diberi pujian kerana anak gajah tersebut sudah pasti akan mati sekiranya gagal dikeluarkan dengan cepat.

Pasukan penyelamat menggunakan tenaga kudrat mengeluarkan anak gajah bagi mengelakkan tekanan kepada kumpulan gajah dewasa berhampiran lokasi. – Foto JHL Sabah

Menurut beliau satu operasi menyelamat diketuai oleh doktor veterinar Dr Navanita Roopan segera dilancarkan sebaik laporan diterima.

“Pasukan penyelamat bergegas ke lokasi dan mereka berjaya mengeluarkan anak gajah hanya dengan menggunakan kudrat tanpa sebarang peralatan walaupun tempat haiwan itu terperangkap amat sempit,” katanya.

Semasa tiba mereka dapati ibu bersama kumpulan anak gajah itu sedang berkumpul di tempat itu dan terpaksa dihalau demi keselamatan gajah kecil yang terperangkap.

Pasukan penyelamat menggunakan tenaga kudrat mengeluarkan anak gajah bagi mengelakkan tekanan kepada kumpulan gajah dewasa berhampiran lokasi. – Foto JHL Sabah

Pasukan penyelamat pada mulanya menerima tawaran dari ladang berhampiran untuk membantu mengeluarkan haiwan tersebut menggunakan traktor.

Namun, mereka membuat keputusan untuk mengeluarkan anak gajah tersebut sendiri tanpa menunggu jentera sampai kerana bimbang kumpulan gajah dewasa berdekatan akan tambah merasa tertekan sekiranya terpisah terlalu lama.

“Teruskanlah usaha baik menyelamatkan gajah-gajah ini. Kita harap akan dapat melihat usaha yang lebih bersepadu ke arah ini,” kata Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Selepas diperiksa dan didapati tidak mengalami sebarang kecederaan anak gajah itu kemudiannya dilepaskan kepada ibu dan kumpulannya.-SabahNewsToday

969