Christina Sokong Dasar Tanpa Visa Kepada Pelancong China & India

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew menyokong dasar kerajaan yang membolehkan pelancong dari China dan India masuk ke Malaysia tanpa memerlukan visa sepanjang tahun 2020.

Katanya, dasar berkenaan bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 seterusnya mampu membantu negara ini menerima pelancong yang lebih banyak.

“Sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, saya sangat mengalu-alukan kenyataan Kerajaan Malaysia yang menyatakan pelancong dari China dan India boleh melawat Malaysia tanpa menggunakan visa pelancong sehingga 31 Disember 2020.

“Saya sangat menghargai usaha kerajaan Persekutuan dalam menyokong kempen melawat Malaysia 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Katanya, dengan tempoh 15 hari tanpa memerlukan visa untuk memasuki negara ini, pelancong dari kedua-dua negara berkenaan turut dijangkakan akan meningkatkan jumlah kemasukan ke Sabah.

Menurutnya, walaupun tidak mempunyai penerbangan terus dari India ke sini, tetapi mereka boleh transit menerusi Kuala Lumpur, Singapura atau Brunei untuk sampai ke Sabah.

Christina berharap, pemegang taruh pelancongan di Sabah akan mengambil peluang yang ditawarkan kerajaan ini untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini dalam usaha memaksimumkan industri pelancongan di sini.

Katanya, berdasarkan statistik dari Lembaga Pelancongan Sabah (STB), sehingga Oktober lalu kedatangan pelancong China dan India ke Sabah masing-masing meningkat pada 3.1 peratus dan 19.3 peratus.

“STB akan teruskan usaha pemasaran di China untuk menarik lebih ramai pelancong ke sini, usaha yang sama juga akan dilakukan ke negara India,” katanya.

Utusan Borneo

441