Imigresen Kaji Kes Pelancong Bolos Dari Pemeriksaan Di LTAKK

Muhamad Sade menunjukkan arahan dalam bahasa Cina yang disediakan di setiap sudut KKIA berkenaan. – Gambar SNT/Ihsan JIIM Sabah.

TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah sedang menjalankan `kajian’ punca empat pelancong wanita China dapat bolos daripada pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Pengarahnya, Datuk Muhamad Sade Mohamad Amin berkata mengikut statistik kira-kira 10,000 pelancong China masuk melalui LTAKK namun pihaknya tidak pernah menerima laporan berhubung pelancong bolos daripada pemeriksaan imigresen sebelum ini. 

Muhamad Sade menunjukkan arahan dalam bahasa Cina yang disediakan bagi memudahkan pelancong dari China berurusan dengan pihak imigresen berkaitan proses kemasukan mereka di negara ini. – Gambar SNT/JIM Sabah.

“Prosedur kita amat jelas dan laluannya adalah senang dengan arahan dalam tulisan Bahasa Cina sudah disediakan. 

“Saya juga sudah memeriksa sendiri laluan ini semalam dan tiada pelancong China yang tidak faham,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu empat wanita warga China tersebut yang terlepas daripada pemeriksaan imigresen setibanya di negeri ini pada 4 Disember lalu.

Mengenai dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong dalam sebuah media tempatan di sini berkaitan prosedur imigresen di LTAKK agak mengelirukan dan mempersoalkan tindakan imigresen yang tidak membenarkan ikat jamin terhadap semua suspek sementara menunggu kes itu selepas pada 31 Disember, beliau berkata kejadian itu di luar bidang kuasa imigresen. 

“Saya ingin menjelaskan bahawa mengikut Seksyen 51(5)(b) tidak memperuntukkan Jabatan Imigresen memberikan jaminan dalam tempoh 14 hari reman bagi tujuan siasatan kepada yang bukan warganegara Malaysia.

“Terpulang dengan budi bicara mahkamah untuk memberi jamin setelah mereka dituduh di Mahkamah. 

“Dalam kes di Tawau, JIM Tawau telah menuduh mereka pada 23 Disember namun kes ditunda 31 Disember kerana tiada hakim, justeru ia di luar bidang kuasa kami untuk membenarkan ikat jamin ke atas tertuduh,” jelasnya. 

Bagaimanapun beliau melihat teguran Vui Keong itu sebagai positif untuk memperbaiki perkhidmatan JIM supaya menjadi lebih efektif.

“Kami akan terus memperbaiki penyampaian perkhidmatan di LTAKK dengan mengadakan lebih banyak libaturus dengan syarikat-syarikat penerbangan, persatuan agensi pelancongan di Sabah dan China serta Konsul General China bagi menjelaskan prosedur ini (Sabah).

“JIM Sabah sentiasa terbuka untuk berdialog dengan semua pemegang taruh industri pelancongan khususnya bagi membantu mempergiatkan aktiviti pada Tahun Melawat Malaysia 2020 tinggal beberapa hari lagi,” katanya.

Semalam tiga pelancong China Wang Xiali, 25, Wu Jingting, 24, Zhang Qingsi, 23, dan Liu Ling, 22, dibebaskan selepas 18 hari dipenjara atas kesalahan gagal melaporkan diri di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika berada di negeri ini.

Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara selama tempoh berkenaan selepas kesemua mereka mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *