KOTA KINABALU: Amalan tadbir urus yang baik amat penting dalam memastikan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, denyut nadi rakyat Sabah sentiasa ingin berasa selamat dan hidup dalam keadaan aman serta seperti berada di rumah sendiri.
Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, parti itu akan memastikan setiap apa yang diinginkan rakyat Sabah dalam menangani isu PATI dilaksanakan.
“Itu yang kita semua inginkan dalam kehidupan, namun kehadiran mereka (PATI) mendatangkan rasa tidak selesa kepada kita.
“Bagaimana kita mahu berasa aman jika kita terasing di bumi kita sendiri. Itu antara komen yang sering didengari hampir setiap hari.
“Persepsi negatif itu bertambah teruk apabila cadangan mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) diumumkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada September lalu,” katanya semasa menutup Program Perbincangan Meja Bulat berkaitan PSS, di sini hari ini.
Perbincangan meja bulat itu adalah yang kedua dianjurkan UPKO dan kali pertama sebagai program dalaman parti.
Seramai 100 peserta yang terdiri daripada wakil parti-parti politik dalam kerajaan dan pembangkang, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir ke program itu.
Muhyiddin sebelum ini berkata, PSS bertujuan untuk menggantikan dokumen Kad Pendaftaran Khas Orang Asing (IMM13), Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang akan membabitkan kira-kira 600,000 pemegang di Sabah bermula Jun 2020.
Madius berkata, rakyat bukan hanya mahukan isu PATI diselesaikan, mereka juga mahu pihak berkuasa bersikap telus mengenainya termasuk mengadakan sesi libat urus dengan orang awam sebelum keputusan dibuat.
Katanya, tadbir urus yang baik amat perlu dalam menyelesaikan isu ini, maka kertas kerja daripada Kabinet Persekutuan dan negeri perlu ada sebelum sebarang polisi diumumkan kepada orang awam, namun sehingga kini, tiada kertas Kabinet mengenai PSS dikeluarkan.
“Kita mahu menjadi sebahagian daripada pihak yang menyelesaikan isu ini. Pelaksanaannya harus dilakukan secara berintegriti dengan urustadbir yang baik,” ujarnya.
Beliau berkata, bagi UPKO apa yang penting adalah pada akhirnya semua orang di Sabah mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bagi warga asing pula, mereka perlu ada pasport antarabangsa sekiranya mereka ingin berada di Sabah jika tidak, mereka perlu diusir pulang ke negara asal,” jelasnya.
Katanya, PPS hanya salah satu daripada cadangan bagi menyelesaikan isu PATI di negeri ini.
Tambahnya, UPKO kekal dengan pendirian bahawa cara terbaik menyelesaikan masalah PATI adalah dengan mengambil semula kad pengenalan sedia ada dan memulangkannya semula setelah mendapat pengesahan keasliannya.