UPKO Puas Hati Penjelasan MKN Berhubung Isu PSS

Agensi kerajaan, parti politik, NGO dan pemerhati yang hadir semasa Perbincangan Meja Bulat Mengenai PSS anjuran Upko. – Gambar SNT/Ihsan Upko

KOTA KINABALU: Upko berpuas hati dengan penjelasan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah serta beberapa agensi berhubung isu pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang menjadi perdebatan pelbagai pihak ketika ini.

Menurut Setiausaha Agung Upko, Nelson Angang sebagai langkah seterusnya Ahli Majlis Tertinggi Upko akan mengadakan mesyuarat untuk berbincang secara lebih lanjut serta mendapatkan pendirian sebulat suara parti terhadap pengenalan PSS menggantikan dokumen sedia ada.

Image may contain: 1 person
Nelson semasa mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat Mengenai PSS anjuran Upko

“Kami amat berpuas hati dengan penjelasan oleh pihak MKN kerana mereka mendengar pandangan kita dan stake holder lain seperti parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir dalam perbincangan meja bulat kali ini.

“Apa yang saya boleh katakan, banyak kekeliruan dan persoalan terjawab dan dapat kami fahami tentang fungsi PSS,” katanya kepada SabahNewsToday selepas menjadi pengerusi Perbincangan Meja Bulat Mengenai PSS anjuran Upko di sini, hari ini.

Agensi kerajaan, parti politik, NGO dan pemerhati yang hadir semasa Perbincangan Meja Bulat Mengenai PSS anjuran Upko. – Gambar SNT/Ihsan Upko

Perbincangan secara tertutup itu dihadiri Presiden Upko merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau dan Naib Presiden yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedict serta beberapa pemerhati.

Agensi kerajaan yang turut serta dalam perbincangan itu ialah Jabatan Ketua Menteri, MKN Putrajaya, MKN Sabah, Jabatan Imigresen, Pejabat Peguam Negeri Sabah dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah.

Parti politik pula terdiri daripada PKR, Amanah, DAP, Gerakan, SAPP, LDP dan PAN manakala NGO diwakili Bersih, Sabah Law Society, Seeds, Gannos, dan Pesbuk.

Nelson berkata penganjuran meja bulat itu bertujuan mendengar penjelasan daripada pihak berkaitan dan dalam masa sama pihaknya juga memberikan ruang kepada pemimpin parti politik dan NGO mengemukakan pandangan dan bertanya soalan berkaitan PSS kepada agensi berkaitan.

Oleh yang demikian jelas beliau lagi walaupun ketika ini Upko belum menetapkan pendirian berkaitan PSS namun perbincangan meja bulat itu banyak membantu menjawab kekeliruan mengenainya.

“Bagi Upko kita perlu melihat maklum balas peringkat akar umbi, seperti saya katakan banyak persoalan dahulu berkaitan PSS telah diterangkan tetapi kita akan memantau sekiranya terdapat penambahbaikan PSS tahun depan.

Image may contain: 1 person, indoor
PIhak pemerhati turut memberikan pandangan mereka berkaitan PSS semasa menghadiri Perbincangan Meja Bulat Mengenai PSS anjuran Upko.

“Sebagai parti politik, jika ada ahli-ahli atau orang awam bertanyakan isu ini kita akan cuba menerangkan apa yang kita fahami,” katanya.

Ditanya mengenai ketiadaan pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) menyertai perbincangan meja bulat itu, Nelson berkata beliau telah dimaklumkan secara peribadi oleh Setiausaha Agung PBS Datuk Jahid Jahim bahawa mereka tidak dapat hadir.

“Mungkin mereka ada sebab-sebab lain, tapi Datuk Jahid Jahim ada menghubungi saya semalam dan memberitahu tidak dapat hadir, terima kasih kerana maklumkan. Mungkin boleh hadir dalam engagement yang akan datang,” katanya.

Dalam pada itu katanya, setiap pemimpin perlu memahami apa isu PSS kerana hasil daripada pemahaman itu kerajaan boleh mengadakan penambahbaikan agar pelaksanaan PSS benar-benar efektif. – SabahNewsToday

464