Dua Mangsa Culik Warga Indonesia Diselamatkan Tentera Filipina Dalam Pertempuran Dengan Kumpulan Abu Sayyaf

Dua mangsa culik di Lahad Datu, pada September lalu diselamatkan pasukan tentera Filipina dalam pertempuran di Sulu, Filipina, awal pagi tadi. – Gambar SNT/Ihsan Esscom

KOTA KINABALU: Dua lelaki warga Indonesia yang diculik di perairan Lahad Datu pada 23 September lalu diselamatkan pasukan tentera Filipina dalam satu pertempuran dengan kumpulan penculik dipercayai didalangi kumpulan Abu Sayyaf di Sulu, selatan negara itu, awal pagi tadi.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali berkata dua mangsa terbabit iaitu Maharudin Lunani, 48, dan Samiun Maneu, 27, diselamatkan di Barangay Pugad Manaul, Panamo Sulu.

“Seorang lagi mangsa, Muhammad Farhan, 27, yang turut dilarikan dalam insiden penculikan September lalu itu bagaimanapun belum diketahui nasibnya setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut Hazani berkata kedua-dua mangsa kini di bawah jagaan pasukan tentera keselamatan Filipina.

“Kita masih berhubung dengan mereka untuk mendapatkan maklumat berkaitan kedua-dua mangsa termasuk seorang lagi yang gagal dikesan,” katanya.

Pada 23 September lalu, tiga nelayan warga Indonesia dilaporkan diculik di perairan Lahad Datu, berhampiran sempadan selatan Filipina dengan kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 11.50 pagi.

Menurut sumber, sebaik saja mendapat maklumat pasukan keselamatan melakukan pencarian sebelum menemui bot kosong dengan enjin masih hidup di perairan berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa dipercayai diculik tujuh lelaki bersenjata sebelum melarikan diri ke arah perairan Pulau Tawi-Tawi, di Selatan Filipina. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *