PPM Tawau Tahan 3 Warga Indonesia Tanpa Dokumen Pengenalan Diri

Ketiga-tiga warga Indonesia yang ditahan oleh pihak PPM Tawau. – Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

TAWAU : Tiga pendatang tanpa izin (PTI) ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di dua lokasi berasingan disyaki berada di perairan negara tanpa menggunakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah,  ACP Mohamad Pajeri Ali berkata tangkapan pertama dibuat semasa pihak PPM menjalankan penugasan  ‘Ops Gelora’ menggunakan botronda PGR 2 di perairan laut Tawau pada jam 10.50 pagi, kelmarin.

“Semasa perondaan tersebut, pihak PPM berjaya menahan sebuah bot jongkong dalam keadaan mencurigakan dipercayai menuju ke Laut Pelabuhan Tawau.

Bot Jongkong yang dirampas pihak PPM Tawau.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki warga Indonesia berumur 19 tahun di dalam bot tersebut dan apabila pemeriksaan dokumentasi dilakukan, lelaki terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya semasa kenyataan medianya di sini semalam.

Dalam operasi berasingan, beliau berkata anggota PPM mendapat maklumat daripada Unit Risikan Marin (URM) yang sedang membuat pemantauan dan risikan di kawasan jeti pelabuhan lama.

“Hasil daripada maklumat tersebut, anggota PPM berjaya menahan dua lelaki masing-masing berumur 19 dan 20 tahun dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri yang sah dan disyaki memasuki negara secara haram,” katanya lagi.

Pajeri berkata, kesemua tangkapan dan rampasan bot tersebut ditahan dan dibawa ke pangkalan markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan atau kompaun sehingga RM3,000.00 jika disabitkan kesalahan,”katanya 

Utusan Borneo

929