Rogol, Bunuh & Bakar 9 Wanita

Mayat suspek rogol yang ditembak mati polis (dalam bulatan) ketika cuba melarikan diri.

INDIA: Dua daripada empat suspek yang merogol dan membakar doktor haiwan di India sebelum ditembak mati polis dua minggu lalu kononnya cuba melarikan diri, mengaku merogol dan membakar sembilan lagi wanita.

Dua suspek itu, Mohammad Areef dan Chintakunta Chennakeshavulu serta dua lagi lelaki didakwa merogol doktor haiwan berusia 26 tahun itu sebelum membunuh dan membakar mayat mangsa.

Semua mereka ditembak mati polis pada 6 Disember lalu kerana didakwa cuba melarikan diri ketika dibawa ke lokasi kejadian di Hyderabad untuk melakonkan semula jenayah itu.

Times of India melaporkan, seorang pegawai kanan polis berkata, Areef dan Chintakunta mengaku merogol sembilan lagi wanita dan membakar mereka.

Polis sedang menyiasat dakwaan suspek dan menghantar pasukan penyiasat ke lokasi di mana jenayah berkenaan didakwa berlaku.

Penyiasat juga menganalisis data telefon bimbit suspek untuk mengesan lokasi mereka ketika jenayah terbabit dilakukan.

“Sejurus ditahan kami mula menyiasat peranan mereka dalam 15 kes rogol dan mangsa dibakar di sepanjang lebuh raya di Telangana dan Karnataka.

“Dua daripada suspek mengaku terbabit dalam sembilan kes rogol dan bunuh itu,” kata pegawai itu.

Anggota polis yang menembak mati semua suspek turut berdepan siasatan selepas Mahkamah Agung India mengarahkan kes itu disiasat. – Agensi

3211