Ketua Cabang PKR Kalabakan Lapor Polis Dakwa Blog Siar Berita Berunsur Fitnah

Amir Pawennari (tengah) bersama ahli PKR Kalabakan menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap sebuah blog tempatan yang didakwa menyiarkan berita berunsurkan fitnah terhadap beliau. – Gambar Ihsan PKR Kalabakan

TAWAU: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kalabakan membuat laporan polis ekoran berita dikeluarkan sebuah blog tempatan pada Khamis yang mengaitkan dirinya menggunakan sijil akademik palsu.

Muhammad Amir Pawennari menerusi laporan polis yang dibuat semalam mengesahkan berita bertajuk `Sijil Akademik Palsu: Pemimpin PH (Pakatan Harapan) Ahli MPN PKR pula tipu PHD UUM’ adalah palsu dan berunsur fitnah.

“Saya telah berjaya lulus ujian lisan disertasi/tesis (viva-voce) kedoktoran saya di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 11 Julai tahun ini dan layak menggunakan gelaran Doktor di depan nama saya menurut peraturan universiti.

“Nama saya tiada dalam pangkalan data penerima ijazah kehormat dan ijazah kedoktoran yang dikendalikan Kementerian Pendidikan seperti dirujuk dalam laporan itu kerana saya belum lagi menghadiri konvokesyen UUM yang dijangka pada tahun depan,” katanya.

Muhammad Amir berkata laporan polis yang dibuat semalam itu bertujuan supaya pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan dan siasatan berhubung kenyataan yang dimuatnaik portal berkenaan.

“Ia telah menghina dan menjatuhkan harga diri dan maruah saya serta keluarga,” katanya. 

Menerusi portal yang dimuatnaik blog tersebut menyatakan Ketua Cabang PKR Kalabakan yang kini tiba-tiba bergelar Dr Amir Pawennari.

Portal berkenaan turut memaparkan gambar carian semakan menerusi portal penerima ijazah kedoktoran (PHD) Pendidikan Tinggi Malaysia yang menunjukkan tiada penama Dr Amir Pawennari. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *