PETRONAS Tidak Bantu Kontraktor Sabah – WARISAN

KOTA KINABALU: Kontraktor industri minyak dan gas di Sabah terpinggir kerana tidak mendapat peluang kontrak daripada PETRONAS yang beroperasi di negeri ini.

Ketua Wira Parti Warisan Sabah (WARISAN) Putatan, Mohammad Firdaus Diun, berkata kebanyakan kontrak diberikan kepada syarikat dari Semenanjung dan Sarawak.

Beliau menegaskan, PETRONAS sepatutnya membantu kontraktor negeri ini untuk terus berkembang kerana sebahagian besar syarikat tempatan masih baharu dalam industri minyak dan gas.

“Saya difahamkan banyak alasan diberikan pihak terbabit, sekali gus menafikan hak usahawan tempatan.

“Kontraktor tempatan kecewa dan dipinggirkan oleh PETRONAS yang mempunyai operasi di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohammad Firdaus juga menegaskan sebagai pengeluar minyak petroleum terbesar, syarikat itu sepatutnya berada di hadapan dalam usaha mencapai visi pengagihan kekayaan dan memastikan syarikat tempatan berkembang maju.

Jelasnya lagi, kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga harus mengetuai usaha itu dalam membantu usahawan tempatan.

“Kerajaan baharu tidak seharusnya mengulangi tindakan yang dibuat kerajaan sebelum ini,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *