Jangan Ambil Mudah PRK Kimanis, Mesti Kerja Keras: Shafie

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang telah ditetapkan pada 18 Januari 2020.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal bagaimanapun mengingatkan jentera Warisan dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) agar tidak mudah berpuas hati, sebaliknya mereka perlu bekerja keras memastikan kemenangan berada di pihak kerajaan.

“Perkara ini sebenarnya kita telah buat persediaan jauh lebih awal bila di peringkat mahkamah kita kemukakan kes ini maka perlu ada kesiapsiagaan.

“Saya yakin insya-Allah bila masa terdekat ini kita sudah pun bergerak, saya pun melawat banji sebelum itu ada program di peringkat akar umbi cuma apa yang saya lihat kita perlu kerja kuat, jangan ambil ringan dan terlalu berpuas hati, kita mesti jumpa seramai mungkin pengundi,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon sempena PRK Parlimen Kimanis pada 4 Januari manakala 18 Januari adalah hari mengundi.

Menurut maklumat daftar pemilih yang dikemas kini pada 9 Disember lalu, terdapat sebanyak 29,664 pengundi di Parlimen Kimanis yang layak mengundi termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi luar negara.

Parlimen Kimanis mempunyai komposisi pengundi 66.54 peratus bumiputera Islam, 29.93 peratus bumiputera bukan Islam, 3.19 peratus Cina dan lain-lain sebanyak 0.34 peratus.

Dalam pilihan raya umum lalu, bekas Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang mewakili UMNO menang dengan majoriti 156 undi selepas mendapat 11,942 undi menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang  dengan 11,786 undi dan Jaafar Ismail yang mendapat 1,300 undi.

Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan bagaimanapun mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu sebelum itu yang membatalkan kemenangan Anifah atas beberapa kesalahan.

Mengulas tentang calon, Mohd. Shafie berkata, belum ada ketetapan dibuat, namun beliau menyambut baik keputusan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk menyokong Warisan bertanding di situ.

Jelasnya, keputusan itu telah dimaklumkan kepada Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Calon kita belum tetapkan, calon saya akan buat penelitiam secara lagi mendakam, saya maklumkan kepada semua pihak saya belum lagi buat penentuan.

“Tetapi saya harap bila mana kita letak calon ini, jentera parti dan komponen (sokong) dan saya maklumkan dengan Dr. Mahathir,” katanya.

BorneoToday

925