RM20 Juta Untuk Rancangan Tebatan Banjir Membakut – Mohd Shafie

Shafie Apdal ketika melawat mangsa banjir di Beaufort dan Membakut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Selagon – Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

BEAUFORT, 14 Dis: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir di Membakut, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata peruntukan diluluskan dalam Pelan Pusingan Keempat, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) itu akan dilaksanakan dalam RMK12 (2021-2025) selepas kajian mengenainya selesai dibuat, termasuk mengenal pasti masalah selain menyediakan langkah penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.

Shafie Apdal ketika melawat mangsa banjir di Beaufort dan Membakut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Selagon – Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

Kajian itu antara lain melibatkan Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Membakut merangkumi empat batang sungai iaitu Sungai Membakut, Sungai Damit, Sungai Terusan dan Sungai Binsulok, katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir Beaufort dan Membakut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Selagon, di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata projek pembangunan tebatan banjir itu amat penting dalam memastikan masalah banjir yang sering melanda Membakut termasuk kawasan berhampiran seperti Beaufort, Kuala Penyu dan Kimanis dapat diatasi secara lebih efisien.

Shafie Apdal ketika melawat mangsa banjir di Beaufort dan Membakut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Selagon – Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

”Ini adalah insiatif untuk kita merealisasikan mitigasi banjir di sini termasuk mengorek dan mendalamkan sungai berhampiran bagi membolehkan saliran air lancar seterusnya sungai tidak cetek atau bertakung sehingga mengakibatkan banjir.

“Kita akan tubuh sebuah jawatankuasa dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Safar Untong) akan memantau kerangka rancangan mengatasi masalah banjir di kawasan ini,” katanya.

Mohd Shafie berkata projek mitigasi banjir itu juga penting memandangkan kekerapan banjir di Membakut yang agak tinggi telah menjejaskan penduduk setempat, jalan perhubungan, kawasan pertanian dan bekalan air bersih.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri juga bercadang mewujudkan  kawasan khusus bagi PPS supaya bangunan sekolah tidak digunakan untuk menempatkan mangsa banjir.

Pada lawatan itu, Mohd Shafie turut menyampaikan sumbangan wang ihsan masing-masing RM400 daripada kerajaan negeri kepada 160 ketua keluarga terjejas dalam banjir tersebut.

Shafie Apdal ketika melawat mangsa banjir di Beaufort dan Membakut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Selagon – Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

Mangsa banjir turut menerima barangan keperluan makanan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Setakat jam 12.45 tengah hari tadi, mangsa banjir di beberapa kampung di Beaufort dan Membakut yang dipindahkan ke PPS di Dewan Selagon kekal seperti semalam iaitu seramai 448 orang daripada 160 keluarga.

Sebanyak 17 kampung di kedua-dua daerah berkenaan terjejas banjir yang berlaku sejak Selasa lepas.

BERNAMA

564