Pengedar Dadah Antara 31 Ditahan Dalam Ops Sarang

Anggota polis menjalankan pemeriksaan dalam Op Sarang. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

KOTA KINABALU: Seorang pengedar dadah antara 31 penagih yang ditahan dalam Ops Sarang di beberapa lokasi di daerah ini, bermula 7 Disember hingga semalam.

Tangkapan itu membabitkan sebanyak 19 serbuan termasuk Kampung Sembulan, Darau dan sekitar pekan Inanam yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata daripada 31 individu yang ditahan itu, seorang adalah pengedar diikuti enam memiliki dadah manakala 24 didapati positif dadah.

“Daripada jumlah itu juga, 23 yang ditahan adalah warga tempatan dan lapan warga asing.

“Sepanjang tempoh operasi itu, polis merampas sebanyak 8.77 gram dadah jenis syabu bernilai RM432 mengikut harga pasaran semasa,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Habibi berkata semua yang ditahan berusia lingkungan 16 tahun hingga 47 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar bandar raya sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa bagi kesejahteraan dan ketenteraman awam,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *