NUNUKAN: Polis Indonesia menahan seorang lelaki yang baru sampai dari Tawau di Pelabuhan Tunon Taka, Nunukan kerana dipercayai menyeludup masuk empat gading gajah ke negara itu.
Menurut laporan Merdeka.com, suspek dikenali sebagai Christans Mikhael, ditahan ketika melakukan pemeriksaan imbasan barang penumpang dari Tawau di pelabuhan berkenaan.
Menurut Ketua Balai Gakkum Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan (KLHK) Wilayah Kalimantan, Subhan, ketika imbasan dilakukan, pihaknya mengesan bentuk yang mencurigakan berada di dalam sebuah beg.
“Pasukan bertugas kemudian mengasingkan beg berkenaan untuk melakukan pemeriksaan lanjut sebelum menemukan empat batang gading gajah di dalamnya.
“Pihak berkuasa kemudian mengesan pemilik beg tersebut sebelum seorang lelaki (suspek) mengakui memilikinya,” katanya.
Tambah Subhan, berdasarkan rekod, suspek dalam perjalanan dari Tawau, Sabah, menuju ke Nunukan.
“Sehubungan itu, suspek ditahan mengikut mengikut undang-undang negara itu berkaitan Konservasi Sumber Daya Alam Hayati dan Ekosistem.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan denda Rp100 juta (kira-kira RM30,000),” katanya.
Tambahnya, suspek ditahan di Polres Bulungan manakala empat gading gajah itu diserahkan di Balai Gakkum KLHK Wilayah Kalimantan di Samarinda, Kalimantan Timur.