Kerajaan Sabah Dijangka Ambil Alih SESB Awal Tahun Depan

 Shafie (tengah) ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat berkenaan, turut kelihatan ialah Yeo (kiri) dan Peter (kanan).

KOTA KINABALU, 13 Dis: Proses pengambilalihan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) oleh kerajaan negeri Sabah daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka akan dapat dilaksanakan awal tahun depan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata proses perbincangan sedang dijalankan bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) termasuk wakil kerajaan negeri dan konsultan bagi memperhalusi setiap isu-isu teknikal dan yang berkaitan.

“Saya harap usaha ini bukan hanya kepentingan untuk negeri Sabah tetapi juga kepada negara bagi membolehkan Sabah dapat memberi sumbangan ke arah pembangunan negara khususnya dapat menarik lebih ramai pelabur kerana janakuasa merupakan faktor (pembangunan) yang amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat antara kerajaan negeri bersama Menteri MESSTEC Yeo Bee Yin  berkenaan perkara itu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata dalam mesyuarat itu turut membincangkan segala persediaan dan persiapan untuk merealisasikan proses pengambilalihan bersama pasukan khas diantara pihak yang terlibat.

Sementara itu, Yeo berkata kerajaan pusat telah bersetuju untuk menyerahkan SESB kepada kerajaan negeri, oleh itu beberapa perkara perlu dilaksanakan agar proses itu dapat dilakukan melalui prosedur yang ditetapkan.

Selain itu, beliau berkata ia juga bagi memastikan pengguna di Sabah mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada kerajaan pusat dan negeri.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *