Pemuda PH Sabah Perlu Hormati Suara Mejoriti Sokong Calon Warisan

KOTA KINABALU: Kepimpinan Pemuda dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) Sabah perlu mengikut suara majoriti untuk menyokong dan memberi laluan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) meletak calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Pengerusi PH Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew, majoriti pemimpin parti komponen sudah bersetuju untuk memberi laluan kepada Warisan maka, tidak timbul isu kepimpinan Pemuda PH Sabah tidak setuju dengan keputusan itu.

“Perkara ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PH Sabah,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan pemimpin Pemuda PH Sabah yang mahu calon komponen parti itu bertanding dalam PRK Kimanis.

Christina berkata, pemimpin Pemuda PH boleh menyatakan apa mereka mahu namun, mereka perlu mengikut suara majoriti.

“Majoriti mahu Warisan bertanding maka, mereka perlu ikut majoriti.

“Pimpinan Pemuda juga harus mengikut prinsip yang sama. Saya tidak tahu Pemuda akan mengeluarkan kenyataan sebegitu.

“Namun, berdasarkan kenyataan itu, mereka ada memaklumkan akan mengikut suara majoriti. Saya sebenarnya sudah menghubungi Datuk Seri Hajiji Noor, Pengerusi Amanah Sabah yang baharu dan Datuk Frankie Poon melalui telefon.

“Kami telah bersetuju melalui telefon dan sekarang kami menjadikannya formal dengan memutuskan melalui mesyuarat dan menandatangani persetujuan itu secara hitam putih,” katanya.

Pengerusi PKR Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar ini berkata, beliau sendiri tidak pasti mengapa kepimpinan Pemuda boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu, mungkin mereka hanya ingin menyuarakan suara mereka.

Pada Rabu, Ketua Pemuda PKR Sabah Raymond Ahuar berkata, kepimpinan Pemuda PH Sabah akan memujuk pemimpin atasan bagi meletak calon yang terdiri daripada salah satu parti komponen PH dalam PRK Kimanis dan bukannya calon Warisan.

Raymond berkata, Warisan adalah rakan sekutu PH tetapi bukan parti komponen dalam PH.

Kepimpinan parti komponen PH melalui Mesyuarat Majlis Pimpinan PH Sabah yang diadakan pada Rabu sebulat suara memberi laluan kepada Warisan untuk meletakkan calon dalam PRK Parlimen Kimanis.

Pemimpin uama parti komponen PH Sabah itu terdiri daripada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersetuju dan seterusnya menandatangani surat persetujuan untuk memberi laluan kepada calon Warisan dalam PRK Kimanis.

Christina juga memberi jaminan PH Sabah akan membantu memastikan kemenangan calon Warisan dalam PRK Kimanis.

“Kita akan bekerjasama dengan Warisan. Biarpun keadaan di sana agak sukar tapi jika kita bekerjasama, kita pasti dapat memenangi pilihan raya itu,” jelasnya.

BorneoToday

860