Beri Peluang PPBM Tanding Di Kimanis

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

KOTA KINABALU, 8 Dis: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berharap pimpinan Pakatan Harapan (PH) pusat dapat mempertimbangkan untuk meletakkan calon parti itu bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis nanti.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Kimanis adalah antara bahagian Bersatu yang paling aktif di Sabah dengan pelbagai program “outreach” telah dilaksanakan oleh kepimpinan bahagian itu sejak Bersatu bertapak di Sabah.

“Bersatu antara parti komponen PH yang terbesar di Sabah, dari segi bilangan wakil rakyat, Bersatu adalah kedua terbanyak di Sabah selepas parti Warisan.

“Bagi memperlihatkan kekuatan Bersatu di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Kimanis, pucuk pimpinan PH harus memberi peluang kepada Bersatu bertanding di kerusi Kimanis dalam PRK kali ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ronald berkata Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor juga menzahirkan hasrat dan keputusan badan itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu dalam pertemuan baru-baru ini.

Bagaimanapun Bersatu Sabah tetap akan akur dengan sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kepimpinan PH Pusat.

“Siapa juga calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan PH untuk bertanding di PRK Parlimen Kimanis, kita akan akur dan sokong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Kimanis Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bahagian itu telah bersedia dan akan memikul amanah jika diberikan peluang.

“Bersatu Kimanis juga akan menyokong dan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada mana-mana parti dari PH yang dipilih bertanding dalam PRK Parlimen Kimanis. 

Baru-baru ini Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *