Pemimpin Akar Umbi Warisan Diingatkan Tidak Berpuak-Puak

KINABATANGAN: Parti Warisan Sabah (Warisan) di peringkat bahagian Kinabatangan diingatkan agar sentiasa bersatu dan tidak bekerja secara berpuak-puak bagi memastikan usaha membantu rakyat di peringkat akar umbi berjalan lancar.

Setiausaha Agung Warisan, Loretto S. Padua Jr berkata, pemimpin dan ahli-ahli parti di peringkat bahagian perlu sentiasa bersatu tanpa mengira ahli lama mahupun baharu.

“Saya berharap kita semua dapat bersatu hati kerana kewujudan parti ini amat penting dalam membentuk kerajaan pada hari ini.

“Sebagai parti yang menerajui kerajaan negeri, rakyat menyimpan harapan yang tinggi terhadap Warisan.

“Sekiranya kita tidak bersatu dan berpecah belah maka, agenda kerajaan dan harapan rakyat tidak akan dapat dijayakan. Itu akan membuatkan kita gagal sebagai pemerintah,” katanya semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Berkelompok cawangan-cawangan penaja Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Kinabatangan, di sini baru-baru ini.

Mengenai Belanjawan 2020, Loretto, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor berharap Parlimen Kinabatangan tidak akan tertinggal dari agihan peruntukan untuk membangunkan ekonomi di kawasan berkenaan.

“Pelbagai susun atur oleh kerajaan telah dilakukan bagi merangka pelan pembangunan dalam tempoh setahun atau dua tahun. Saya percaya tahun depan pasti ada sesuatu untuk Kinabatangan,” ujarnya.

TERRENCE SIAMBUN

Sementara itu, Bendahari Warisan, Terrence Siambun juga mahu seluruh ahli parti berganding bahu sekiranya ada bahagian yang ingin menubuhkan cawangan.

“Jauhi politik berpuak-puak dan fokus kepada perpaduan dalam parti khususnya, di peringkat bahagian Kinabatangan.

“Saya juga berharap kepimpinan peringkat bahagian dapat bekerjasama dengan pemimpin akar umbi dalam membentuk kerja berpasukan yang kuat bukan hanya di bahagian Kinabatangan, tetapi juga di seluruh Sabah,” ujarnya.

ISMAIL AYOB

Sementara itu, Ketua Bahagian Warisan Kinabatangan merangkap Timbalan Ketua Wira Warisan Sabah, Mohd Ismail Ayob berkata, beliau mahu ahli-ahli parti itu terus bekerja keras dalam memastikan bahagian Kinabatangan dapat menyumbang kemenangan mutlak dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, semakin ramai yang ingin membuka cawangan Warisan maka, beliau mahu pertambahan itu dimanfaatkan dalam memastikan jentera Warisan terus diperkasakan.

“Saya juga berharap dalam belanjawan akan datang, peruntukan kepada Kinabatangan ditambah memandangkan saiz kawasan ini sama besar dengan keluasan Pahang,” katanya.

Beliau juga agak berbangga kerana kehadiran 700 ahli Warisan dalam mesyuarat berkelompok itu membuktikan parti itu semakin berkembang.

Mohd Ismail turut melahirkan penghargaan terhadap Ketua Menteri kerana terus memberi perhatian kepada pembangunan luar bandar.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *