Pemandu Maut, Penumpang Parah Tersepit Dalam Kemalangan Di Inanam

Anggota bomba berusaha mengeluarkan pemandu yang maut selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Jalan Inanam berhampiran Terminal Bas Bandaraya (Utara), malam tadi. – Foto ihsan bomba

KOTA KINABALU: Pemandu maut manakala penumpang parah selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Jalan Inanam berhampiran Terminal Bas Bandaraya (Utara), di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 11 malam itu, pemandu Edegeo Supan, 30-an, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala penumpangnya yang juga berusia 30-an mengalami kecederaan parah di kepala dan badan selepas tersepit di dalam kenderaannya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.22 malam.

Katanya, pihaknya mengerahkan sebuah jentera diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rozam, Shah Rahmat bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian kira-kira tiga kilometer dari Balai Bomba Lintas.

“Sebaik tiba, pemandu dan penumpang Perodua Kancil masih tersepit manakala pemandu lori yang cedera ringan segera diberikan rawatan oleh van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa daripada kereta yang remuk segera dijalankan menggunakan peralatan hidraulik khas,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan paramedik sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan bomba seterusnya membuat pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain.

“Operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 12.11 tengah malam,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *