Penganggur Ditahan Edar Dadah

Suspek ketika diperiksa oleh pihak polis

KUNAK: Seorang lelaki tempatan ditahan dalam Op Sarang dipercayai terbabit dengan pengedaran dadah di Taman Sri Idaman, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Baharin Md. Tahir berkata, dalam operasi pukul 12.05 tengah malam tadi, polis turut menemukan dadah jenis syabu seberat 5.11 gram dalam simpanan suspek berumur 38 tahun.

suspek

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota polis melakukan pemantauan di Taman Sri Idaman.

“Hasil pemantauan yang dilakukan polis menjumpai seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah rumah di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Baharin, hasil pemeriksaan yang dilakukan, polis menemukan satu plastik lutsinar berisi ketulan hablur dipercayai syabu di tempat duduk suspek.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek yang tidak bekerja dan sudah berkahwin itu juga menunjukkan positif dadah yang sama.

“Sehubungan itu, suspek ditahan dan polis merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM750,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 Dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama atas kesalahan pengedaran dan memasukkan dadah ke dalam badan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *