Ketua Cawangan & Ahli UPKO Kampung Penampang Baru Sertai BERSATU

Samson dan bekas ahli Upko menyerahkan borang keahlian kepada Hajiji (tengah). – Gambar Ihsan Bersatu Sabah

TUARAN: Kerana hilang kepercayaan dengan perjuangan UPKO, Ketua Cawangan UPKO Kampung Penampang Baru, Encik Samson Sipulin bersama kira-kira 40 ahlinya telah mengisytiharkan keluar dari parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, berkuatkuasa hari ini.

Samson yang juga mantan Ketua Kampung Kg Penampang Baru telah menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Ketua Bahagian BERSATU Tuaran di Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan BERSATU Kg. Penampang Baru di Dewan Serbaguna kampung itu, hari ini.

Samson menyerahkan borang keahlian kepada Hajiji di majlis itu.

Dengan penyertaan Samson dan ahli-ahlinya ke dalam BERSATU, maka UPKO Cawangan Kg Penampang Baru dibubarkan dengan rasminya.

Samson berkata, keputusan beliau bersama ahli-ahli cawangan itu meninggalkan UPKO kerana telah hilang kepercayaan terhadap perjuangan UPKO telah lari daripada perjuangan asalnya.

“Keputusan kepimpinan UPKO menukar nama parti daripada Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu ke Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu menjadikan UPKO semakin tidak relevan kepada masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM)”, katanya.

Hajiji dalam ucapannya mengalu-alukan penyertaan Samson bersama pengikutnya ke dalam BERSATU untuk bersama-sama mendokong perjuangan BERSATU.

“BERSATU membawa pendekatan politik yang inklusif untuk semua masyarakat di Sabah, khususnya kaum peribumi.

“Sejak dari awal penubuhan, BERSATU telah menzahirkan pengiktirafan kepada masyarakat peribumi di Sabah secara tersurat dalam Perlembagaan parti itu sendiri.”

“Ini menjadikan BERSATU sebagai sebuah parti bertaraf nasional yang memastikan undang-undang tubuh parti meletakkan kedudukan pribumi Sabah pada tempat yang sewajarnya bertepatan dengan semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah”, katanya

Hajiji berkata, BERSATU Sabah komited dan berkerjasama dengan parti-parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH) dan juga Parti Warisan Sabah (Warisan).-pr/BNN

761