Dua PATI Edar Dadah Di Sekitar Lahad Datu Ditahan

Suspek (kiri) Ditahan di Kg Seberang & Supek (kanan) ditahan di Kg Lituk Pulau.

LAHAD DATU: Dua lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan dalam Op Sarang di dua lokasi berasingan semalam selepas dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah.

Terdahulu, dalam kejadian pukul 5 petang itu, polis menahan seorang lelaki, 20-an, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lituk Pulau, Segama.

Dadah jenis syabu yang dirampas bersama suspek

Difahamkan suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis.

Bagaimanapun, hasil kecekapan pihak polis, suspek berjaya diberkas dan mengalami kecederaan kecil di bahagian mulut akibat bergelut.

Pemeriksaan terhadap badan suspek menemukan satu kotak aluminium bertulis ‘Tobaki’ yang disorok dalam poket seluar suspek dan mengandungi dua paket lutsinar berisi ketulan kristal iaitu syabu seberat 6.50 gram dan 13 gulung kertas timah.

Dadah jenis syabu yang dirampas bersama suspek

Sebelum itu, di Kampung Seberang, Silabukan Peringkat Lima, seorang lagi suspek berusia 48 tahun ditahan kerana kesalahan sama.

Ketika ditahan pada pukul 3.30 petang, polis turut merampas tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.10 gram.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor mengesahkan penahanan dua suspek itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Kedua-dua suspek turut positif syabu menerusi ujian air kencing yang dilakukan anggota polis bertugas.

“Polis merampas semua dadah milik suspek yang dianggarkan bernilai lebih RM1,700,” katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *