Asap Rokok Tebal Bunyikan Alat Penggera Api Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah Datuk Jauteh Dikun ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah di sini, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Suasana gempar seketika sewaktu proses pendengaran rayuan kes bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman terhadap keputusan penolakan Mahkamah Tinggi ke atas saman mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri di Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Bunyi alat penggera api disertakan bunyi kuat dari mesin yang tidak dapat dipastikan itu menyebabkan suasana di lobi kompleks berkenaan kecoh dan sesi pendengaran kes itu terganggu buat seketika.

Helikopter jenis Eurocopter AS335N dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah melakukan pemantauan dari udara di sekitar lokasi Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Bagaimanapun, petugas teknikal di bangunan itu berjaya menghentikan alat penggera tebabit setelah hampir lima minit berbunyi.

Menurut sumber, alat penggera yang berbunyi itu berlaku di bahagian tangga kecemasan ditingkat tiga kompleks itu dan ia terjadi disebabkan asap rokok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah Datuk Jauteh Dikun ketika ditemui berkata alat penggera yang berbunyi kira-kira 10.30 pagi itu berpunca daripada pengunjung mahkamah yang merokok di kawasan larangan merokok.

“Oleh itu kita menasihatkan pengunjung yang datang ke kompleks ini agar mematuhi setiap larangan merokok didalam bangunan ini untuk mengelak berlaku keributan yang disebabkan oleh penggera kecemasan itu.

Pegawai dari Unit Dron PDRM ketika menjalankan penugasan pemantauan dron di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Tiada insiden mahupun isu serius yang direkodkan polis pada pagi ini. Hanya bunyi alat penggera itu sahaja,” katanya.

Tinjauan SabahNewsToday di lokasi mendapati sekitar kawasan Mahkamah Kota Kinabalu pagi tadi dikawal ketat oleh anggota polis termasuk di beberapa laluan ke kompleks berkenaan dan di pintu masuk utama ke mahkamah.

Manakala, penyokong dari kedua-dua pihak mula berkumpul seawal jam 8 pagi di kawasan yang disediakan.

Pemeriksaan dan kawalan ketat anggota polis dihadapan pintu masuk utama Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis juga turut digerakkan bagi memantau keadaan sekitar kompleks mahkamah dari udara selain dibantu oleh Unit Dron PDRM yang bertujuan mengawasi sebarang penggunaan dron oleh orang awam selain melakukan pemantauan dari udara.

Selain itu, anggota polis dari ‘Light Strike Force’ dan Pasukan Gerakan Am (PGA) juga turut berada dalam keadaan berjaga di sekitar kompleks berkenaan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah hari ini menggerakkan kira-kira 300 anggota termasuk 20 pegawai bagi mengadakan kawalan keselamatan sepanjang proses pendengaran berlangsung.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *