Ujian DNA Sekadar Dokumen Sokongan Mohon Kewarganegaraan

Datuk Mohd Azis Jamman – Foto BorneoToday

KUALA LUMPUR: Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tidak boleh dijadikan bukti bagi meluluskan permohonan kewarganegaraan Malaysia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, menjelaskan penggunaan DNA hanya sebagai dokumen sokongan dalam memohon taraf kewarganegaraan.

“Kewarganegaraan seseorang individu ditentukan berdasarkan status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung sewaktu kelahiran, dan ia selaras peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan serta perundangan berkaitan.

“Buat masa ini kerajaan hanya menggunakan keputusan DNA sebagai dokumen sokongan bagi mengesahkan pertalian darah seseorang dengan ahli keluarga yang lain dan tidak dijadikan bukti konklusif dalam penganugerahan kewarganegaraan Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) sama ada kerajaan bercadang menggunakan DNA sebagai bukti mengenal pasti hubungan antara anak dengan bapa dalam memohon status kerakyatan Malaysia.

Mohd Azis berkata, pemohon perlu mematuhi undang-undang lain yang berkaitan dengan pendaftaran perkahwinan dan mempunyai status keberadaan yang sah di Persekutuan.

“Kaedah merekod taraf kewarganegaraan individu yang dilahirkan di Malaysia oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah selaras dengan peruntukan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai tindakan Kementerian Dalam Negeri terhadap rakyat Malaysia yang memiliki dua kerakyatan, Mohd Azis menegaskan, undang-undang negara jelas tidak mengiktiraf perkara itu.

“Jika mengenali mana-mana individu (yang ada dua kerakyatan), sila segera buat laporan kepada JPN. Undang-undang negara cukup jelas tidak mengiktiraf mereka.

“Mereka yang ada dua kerakyatan atau lebih, perlu memilih satu daripadanya,” katanya.

Berita Harian

2351