Imigresen Sabah Tumpaskan Sindiket Penipuan Dalam Talian

Muhamad Sade (empat dari kiri) bersama barang-barang rampasan ketika mengadakan sidang media mengenai kejayaan Jabatan Imigresen Sabah menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang berpusat di China yang menjalankan operasi aktiviti penipuan berkenaan di sini. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 27 Nov: Satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang berpusat di China berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Sabah selepas menahan 104 warganegara China yang dipercayai menjalankan aktiviti berkenaan di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk Muhamad Sade Mohamad Amin berkata mereka ditahan dalam serbuan di sebuah pusat membeli-belah dan dua unit kondominium di Jalan Universiti Malaysia Sabah pada pukul 4.00 petang.

Antara barangan yang dirampas oleh JIM Sabah selepas menahan 104 warga China terbabit kes penipuan dalam talian.

“Semasa serbuan dijalankan kesemua warganegara China itu sedang menjalankan aktiviti berkenaan yang dipercayai sudah beroperasi sejak dua bulan lepas.

“Serbuan yang dijalankan hasil daripada maklumat awam serta intipan itu, melibatkan 41 anggota Jabatan Imigresen. Sebanyak 916 unit telefon bimbit, 64 komputer riba dan 28 unit komputer peribadi dirampas dalam serbuan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Antara barangan yang dirampas oleh JIM Sabah selepas menahan 104 warga China terbabit kes penipuan dalam talian.

Beliau berkata kesemua yang ditahan berumur 18 hingga 39 tahun dan 10 daripadanya adalah wanita.

Muhamad Sade berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah menawarkan mangsa keuntungan yang tinggi dan pantas, kesemua suspek yang bertindak selaku operator itu pula akan menghantar satu kod kepada pelanggan dari laman sesawang tertentu yang aplikasinya adalah dalam bahasa Cina.

“Kesemua yang ditahan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial, namun 69 orang daripadanya gagal menunjukkan pasport dan dokumen pengenalan diri dan sehingga kini juga tiada pihak yang tampil mengemukakan dokumen mereka,” katanya.

Beliau berkata semua barang rampasan disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA), dan satu laporan mengenai serbuan itu akan dibuat untuk dihantar kepada kedutaan China.

Ditanya sama ada kes berkenaan mempunyai kaitan dengan kes yang sama di Selangor baru-baru ini, Muhamad Sade berkata pihaknya masih menyiasat mengenai perkara itu.

“Namun apa yang kita lihat modus operandi mereka adalah sama dan kesemua yang ditahan juga adalah warganegara China,” katanya.

BERNAMA

841