Ketua Menteri Sabah: Rayuan Musa Aman Didengar Esok

KOTA KINABALU: Rayuan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman beliau yang mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah, akan didengar esok di Mahkamah Rayuan di sini.

Rayuan itu akan didengar di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Kamardin Hashim, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Musa diwakili pasukan peguam diketuai Tengku Fuad Tengku Ahmad manakala Mohd Shafie dijangka diwakili Datuk Doughlas Lind.

Bekas hakim kanan Mahkamah Rayuan Datuk Anantham Kasinather juga dijangka hadir membantu pasukan peguam Musa sebagai peguam kanan selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Anantham diterima masuk secara ad hoc di Mahkamah Sabah pada 15 Nov.

Ketika membuat permohonan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ismail Brahim, Tengku Fuad berhujah kes itu adalah rumit, yang membangkitkan persoalan sejauh mana kuasa Yang Dipertua Negeri dalam melantik dan memecat ketua menteri.

Beliau berkata kuasa Yang Dipertua Negeri untuk melantik atau memecat ketua menteri masih belum dihujahkan di mahkamah.

Pada 7 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini menolak saman pemula yang difailkan Musa terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie yang menuntut mahkamah mengisytiharkan beliau (Musa) sebagai Ketua Menteri yang sah, dan memutuskan bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri adalah mengikut perlembagaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Yew Jen Kie berkata berdasarkan keputusan dalam kes Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menentang Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, adalah jelas bahawa apabila Kabinet Sabah, termasuk Ketua Menteri dilihat telah melepaskan jawatan masing-masing, ia membuka jalan bagi Yang Dipertua Negeri Sabah, Juhar, yang merupakan defendan pertama, melantik Mohd Shafie bagi menggantikan Musa mengikut Artikel 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah.

Beliau juga memutuskan bahawa Musa telah hilang penguasaan terhadap majoriti di dewan itu apabila begitu ketara sekali, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN-Sabah berpaling tadah, jumlah ADUN daripada BN-Sabah berkurangan daripada 29 kepada 23 (DUN Sabah mempunyai 60 kerusi).

Yew berkata Juhar yakin Musa tidak lagi mendapat kepercayaan daripada majoriti ADUN berdasarkan perisytiharan berkanun yang dibuat enam ADUN berkenaan.

Perebutan kuasa antara BN Sabah dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya, Pakatan Harapan, bermula berikutan pilihan raya umum tahun lalu selepas terikat 29-29 antara kedua-dua parti itu.

Selepas BN berjaya mendapat sokongan daripada dua wakil rakyat dari Parti Solidariti Tanah Airku (Star), parti itu mengisytiharkan mendapat majoriti mudah, oleh itu, Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei.

Bagaimanapun, pada hari berikutnya, enam ADUN BN beralih arah meninggalkan BN dan menyokong Warisan menyebabkan Musa tidak lagi memegang majoriti, mendorong Juhar melantik Mohd Shafie sebagai ketua menteri, dua hari selepas Musa mengangkat sumpah.

BorneoToday

1177