SHAH ALAM: Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil, kini menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan bermula Khamis minggu lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli, berkata ia berikutan Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan suami kepada aktres Diana Danielle itu, terhadap sabitan dan hukuman penjara selama sembilan bulan membabitkan kesalahan dadah.
Ahmad Nazneen berkata, dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ab Karim Ab Rahman, memerintahkan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pada Mei lalu adalah kekal.
“Hukuman penjara terhadap tertuduh berkuat kuasa sejak Khamis minggu lalu,” katanya kepada Berita Harian, di sini, hari ini.
Difahamkan, ketika prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam itu, Farid Kamil, 38, hadir bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga dengan menunggang motosikal.
Mei lalu, Farid Kamil atau nama sebenarnya Datuk Farid Kamil Zahari, dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan selepas disabitkan dengan kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Farid Kamil, memilih untuk berdiam diri selepas diperintahkan membela diri.
Bagaimanapun, selepas 35 hari menjalani hukuman di Penjara Kajang, Ab Karim membenarkan penangguhan hukuman terbabit selepas permohonan rayuan difailkan pelakon berkenaan.
Mengikut pertuduhan, pelakon filem J Revolusi itu didakwa menggunakan dadah pada jam 4.30 petang di Pejabat Narkotik Petaling Jaya, dalam Daerah Petaling Jaya, pada 11 Januari 2018.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Berita Harian