Warga Filipina Ditahan Cuba Seludup Minyak Diesel

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak diesel sebanyak 375 liter di perairan Pulau Bum Bum, di sini, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga Filipina berumur 47 tahun.

“Ketika kejadian, Maritim Malaysia bertugas berjaya mengesan bot penumpang yang dinaiki suspek dipercayai dalam perjalanan menuju ke Pulau Mabul dari pekan Semporna.

“Anggota bertugas kemudian menahan bot berkenaan sebelum menemui 15 jerikin berisi minyak diesel dianggarkan seberat 375 liter,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, suspek ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen kebenaran pemilikan diesel manakala semua tong, minyak diesel, dua enjin sangkut dan bot dianggarkan bernilai RM110,800 dirampas.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

865