Penerangan Tentang PSS Kepada Wakil Rakyat Dan Penduduk Sabah Akan Dilakukan

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri akan mengadakan simulasi dan penerangan tentang pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) bermula awal Disember ini bagi memberi kefahaman mengenai pelaksanaan PSS.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata, sekiranya simulasi selama dua hari itu berjaya dilakukan, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah akan menjalankan beberapa siri penerangan kepada pemimpin negeri termasuk pembangkang tentang pelaksanaan PSS.

Beliau berkata, penerangan dan perbincangan akan dilakukan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen di Sabah bagi memberi penjelasan dan mengambil kira pandangan mereka tentang PSS.

“Kita bersedia untuk menjawab sebarang soalan dan kemusykilan yang diutarakan. Sekiranya ada isu yang kita terlepas pandang, ia akan dilihat terlebih dahulu kerana pada akhirnya keputusan akan dilakukan oleh Jawatankuasa Induk.

“Bagaimanapun, kita akan memberi penjelasan secara terperinci tentang siapa sebenarnya yang layak mendapat PSS serta apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh pemegang PSS. Ini yang akan dibincangkan dengan Jawatankuasa Induk dan sekiranya mereka bersetuju maka, sesi penerangan akan diteruskan.

“Atas sebab itu kita meminta orang luar agar tidak membuat andaian bahawa PSS ini untuk memberi kewarganegaraan kepada warga asing. Pas ini hanya akan dikeluarkan kepada memegang asal IMM13, Kad Burung Burung dan Sijil Banci,” katanya kepada pemberita selepas Mempengerusikan Mesyuarat Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini pada Isnin.

Mohd Azis berkata, usaha memberi penerangan mengenai PSS itu dilakukan bagi menepis pelbagai andaian yang menimbulkan stigma negatif tentang cadangan pelaksanaan PSS ini.

Atas sebab itu, Pasukan Petugas akan menumpukan terhadap Pelan Komunikasi yang akan memfokuskan kepada pemegang-pemegang taruh berkaitan seperti anggota pentadbiran, Ahli Parlimen, Adun terutama pihak pembangkang serta rakyat Sabah.

Ditanya mengenai cadangan memendekkan tempoh sah PSS kepada setahun, Azis berkata, cadangan sebegitu akan dilihat kerana apa juga cadangan dikemukakan, keputusan akhir akan dilakukan oleh Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah.

Mohd Azis berkata, sekiranya PSS itu perlu diperbaharui dalam tempoh singkat seperti tiga bulan, beliau khuatir pejabat Jabatan Imigresen akan sentiasa penuh dengan orang yang ingin memperbaharui PSS.

“Sebab itu kita mencadangkan tempoh tiga tahun bagi setiap satu tempoh pusingan. Tidak sesuai ianya diperbaharui dalam tempoh tiga bulan sekali.

“Dalam memendekkan atau memanjangkan tempoh sah PSS, kita mengambil kira pandangan Jabatan Imigresen,” ujarnya.

Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah. Jawatankuasa Induk mengumumkan tentang PSS ini pada 6 September.

Pengeluaran PSS yang akan berkuatkuasa pada Jun 2020 dianggarkan melibatkan seramai 136,055 orang pemegang IMM13, Kad Burung Burung dan Sijil Banci yang kini menetap di Sabah.

Kad yang lengkap dengan ciri keselamatan biometrik, gambar dan cap jari itu merupakan kad yang akan menggantikan IMM13, Kad Burung Burung dan Sijil Banci.

IMM13 adalah dokumen yang dikeluarkan Jabatan Imigresen keada pelarian perang dari Selatan Filipina pada 1970an. Kad Burung Burung dan Sijil Banci pula dikeluarkan kepada pendatang asing semasa era kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *