Sebutan Semula Kes Warden Penjara Bunuh Banduan Januari Depan

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret menetapkan 10 Januari 2020 sebagai tarikh sebutan semula kes membabitkan seorang pegawai dan sembilan warden penjara yang didakwa atas kesalahan membunuh seorang penghuni penjara.

Majistret Lovely Natasha Charles menetapkan tarikh itu sementara menunggu laporan kimia dan forensik diperolehi oleh pihak pendakwaan.

Majistret turut memerintahkan kesemua 10 tertuduh terus ditahan mengikut Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Tertuduh ialah Barry Jipmon, 30; Mohd Dzulfikri Mohd Safri, 28; Farizan Mokri, 41; Mohd Saiful Saidin, 35; Amran Yasik, 25; Ab Mutalib @ TalibAbd Rasul, 40; Zerry Maidin, 33; Tomy Momoh, 36; Shahryll Nazry Wan Sofian, 25; dan Muhammad Fazi Lakui, 32.

Dalam sebutan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris memaklumkan mahkamah bahawa laporan kimia dan forensik masih belum siap.

Bagaimanapun pihak pendakwaan akan membuat susulan terhadap perkembangan kedua-dua laporan berkenaan.

Peguam mewakili kesemua tertuduh, PJ Perira memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai sebarang halangan mengenai perkara itu dan mencadangkan mahkamah menetapkan tarikh baharu pada minggu kedua Januari 2020 bagi sebutan semula kes.

Keluarga mangsa diwakili oleh Peguam Azhier Farhan Arisin.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan pembunuhan terhadap Shainal Mukhtar, 36, di sel tahanan Blok Gemilang Penjara Pusat Kota Kinabalu, pada 4.30 petang, 4 Oktober 2019.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam sebutan pertama kes pada 29 Oktober lalu, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh, selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lovely.

Pada 4 Oktober lalu, seorang banduan yang dipenjarakan atas kesalahan membabitkan dadah disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) berikutan tidak sedarkan diri.

BorneoToday

872