Lapan Individu Masuk Hospital Terhidu Gas Asetilena Di Lahad Datu

Antara mangsa dirawat di Hospital Lahad Datu selepas terhidu gas Acetelyne akibat kebocoran tong gas di kilang besi buruk di Jalan Dam, Lahad Datu.

LAHAD DATU: Lapan termasuk dua kanak-kanak dikejar ke Hospital Lahad Datu akibat terhidu gas Acetelyne yang bocor di kilang besi buruk di Jalan Dam, Lahad Datu, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.54 pagi, tiga mangsa dalam keadaan separuh kritikal manakala lima lagi stabil dan semuanya dirawat di Hospital Lahad Datu.

Mangsa membabitkan kanak-kanak lelaki berusia tujuh dan sembilan tahun manakala selebihnya berusia antara 25 hingga 56 tahun.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, laporan diterima melalui talian kecemasan 999 memaklumkan berlaku kebocoran gas di sebuah kilang besi buruk.

“Menurut bomba, injap tong gas mengandungi gas Acetelyne yang dibawa ke kilang itu untuk dijadikan besi buruk didapati terbuka.

“Jumlah gas terkandung dalam tong berkenaan cuma dalam kuantiti sedikit dan bomba berjaya mengawal situasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, tiada mangsa lain dikesan dan hanya pekerja kilang itu saja yang terkesan.

“Mangsa hanya membabitkan dua kanak-kanak dan tiga wanita dewasa serta tiga lelaki dewasa.

“Satu mangsa kanak-kanak dan dua individu dewasa masih memerlukan oksigen di hospital manakala selebihnya sudah stabil dan dibenarkan pulang.

“Kejadian tidak berbahaya kepada orang ramai yang melalui atau berada di sekitar Jalan Dam,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.56 pagi lalu mengerahkan tiga jentera bersama sembilan anggota ke lokasi.

“Semua mangsa sudah dihantar ke hospital sebelum ketibaan bomba.

“Operasi segera dilakukan dengan mengarahkan orang awam keluar dari kawasan terjejas dan menutup tong yang bocor serta membuat kerja pembersihan di kawasan sekeliling sebelum operasi ditamatkan jam 11.42 pagi,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *