Bola Sepak Piala Borneo Awal Tahun Depan

KOTA KINABALU: Piala Borneo akan kembali mewarnai kancah bola sepak kepulauan Borneo awal tahun depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony mengumumkan perkara itu ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah edisi kedua Liga Bola Sepak KDM Malaysia 2018-2019 di Stadium Penampang malam semalam.

“Piala Borneo ini akan menjadi kejohanan paling berprestij di kepulauan Borneo dan ia akan dianjurkan SAFA. Dalam perancangan, kita mahu kejohanan ini berlangsung awal tahun depan…mungkin dalam bulan Mac.

“Cadangan awal, kejohanan ini akan melibatkan lapan pasukan dari Sabah, Sarawak, Kalimantan, Brunei dan Labuan,” kata Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Beliau berkata, peganjuran Piala Borneo bermakna Kejohanan Liga Bola Sepak KDM Malaysia akan direhatkan tahun depan.

“Bagaimanapun, dua juara dari Liga KDM Malaysia iaitu Telupid selaku juara liga dan Semporna  selaku juara Piala FA akan diberi tempat bersaing dalam Piala Borneo. Jika Brunei, Kalimantan, Labuan dan Sarawak masing-masing akan diwakili satu pasukan, bermakna ada dua kekosongan lagi untuk mencukupkan lapan pasukan.

“Dua kekosongan itu kita akan fikirkan kemudian..antara pengisiannya mungkin juga dari SAFA,” katanya.

Peter berkata, sebagai pulau ketiga terbesar di dunia dan yang terbesar di Asia, Borneo yang dikongsi tiga negara sewajarnya ada kejohanan yang boleh membantu pembangunan bola sepak dengan lebih efisyen.

Katanya, Piala Borneo juga boleh menjadi hala tuju kepada kejohanan-kejohanan utama tempatan seperti Liga KDM Malaysia untuk Sabah.

“Pada dasarnya, sudah ada persetujuan dari pasukan yang terlibat termasuk dari Sarawak, Brunei, Labuan dan Kalimantan untuk menjayakan kejohanan ini,” katanya.

Peter yang juga Presiden KDM Malaysia berkata, hadiah yang bakal ditawarkan akan bergantung kepada tajaan tetapi beliau menjangkakan ianya lebih lumayan berbanding Liga KDM Malaysia yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM300,000.

Piala Borneo pernah diperkenalkan secara rasmi pada 1962 dan  menjadi kejohanan paling berprestij di kepulauan Borneo tetapi hanya melibatkan pasukan Sabah, Brunei dan Sarawak. Kali terakhir ia dianjurkan ialah pada tahun 1988.

BorneoToday

868