Tiada Lapangan Terbang Baharu Di Sabah, Hanya Naik Taraf KKIA

KOTA KINABALU: Khabar angin mengatakan sebuah lapangan terbang baharu akan dibina di negeri ini tidak tepat selepas Kerajaan Persekutuan mengesahkan tiada apa-apa perancangan mengenainya sedang dilakukan.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, Kerajaan Pusat sebaliknya mengesahkan merancang untuk membesar lagi Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai sokongan kepada industri penerbangan dan pelancongan negeri yang berkembang pesat.

CHAN FOONG HIN

“Kerajaan Persekutuan telah merancang menaik taraf KKIA untuk meningkatkan lagi kapasitinya untuk menampung perkembangan industri penerbangan.

“Pelan Induk Kajian tentang perancangan itu telah dimulakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sejak Ogos lalu selama tujuh bulan sehingga suku pertama 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkara tersebut dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika penggulungan Belanjawan 2020 selepas dibangkitkannya dalam perbahasan.

Katanya, pelan induk berkenaan turut bertujuan mengkaji perancangan dan pembangunan jangka panjang KKIA.

ANTHONY LOKE

Menurut beliau, mengenai Terminal 2 KKIA yang dicadangkan dibuka kepada awam, perkara itu mungkin tidak berlaku kerana terminal berkenaan kini sedang digunakan pada kapasiti maksimum oleh dua syarikat penerbangan iaitu Westar Aviation dan Sazma.

“Kedua-dua syarikat melakukan tiga penerbangan sehari, tambahan pula, Terminal 2 digunakan untuk kargo, pesawat khas, pesawat diraja, pesawat rasmi kerajaan serta turut digunakan oleh pihak berkuasa Esscom.

“Oleh sebab itu, adalah tidak tepat jika mengatakan Terminal 2 tidak digunakan pada kapasiti penuh,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sebelum ini telah membelanjakan sebanyak RM1.6 bilion untuk menaik taraf KKIA, justeru langkah itu perlu diteruskan bukannya membina lapangan terbang baharu.

1126