Penunggang Motosikal Patah Kaki Kiri Dirempuh Kereta

Gambar Ihsan Pembaca

TAWAU: Seorang lelaki parah selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan jenis Honda, di Jalan Kuhara di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 1.15 petang itu, mangsa Steven Samoya, 26, cedera parah dan patah kaki kiri.

Gambar Ihsan Pembaca

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai juruteknik telefon itu dalam perjalanan dari bandar menghala ke Kampung Jawa.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Honda yang dipandu seorang wanita didakwa berumur 67 tahun keluar secara melulu dari persimpangan ke jalan utama.

Disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa yang berada di jalan utama tidak sempat mengelak seterusnya menyebabkan rempuhan berlaku.

Gambar Ihsan Pembaca

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta Honda terbabit.

“Dalam masa sama, mangsa juga tidak mempunyai lesen menunggang motosikal,” katanya.

Peter berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut, makanala pemandu kenderaan ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BorneoToday

1188