KDN Sokong Anggota RELA Dibekalkan Senjata Api

Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong cadangan membekalkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan senjata api, terutama yang terbabit dalam operasi di kawasan berisiko.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Azis Jamman, menjelaskan cota atau belantan digunakan anggota RELA yang terbabit dalam operasi di kawasan berisiko tidak sesuai, berbanding ancaman keselamatan dihadapi mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman (tengah) bersama pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ketika hadir pada Program Bakti RELA dan Sesi Dialog Bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri di Kampung Tatahan, Inanam, Kota Kinabalu. – Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

Sehubungan itu, beliau menyokong agar pasukan RELA diperkasakan dengan membenarkan anggotanya membawa senjata api apabila terbabit dalam operasi berisiko atau ditugaskan di kawasan yang dikenal pasti berdepan ancaman keselamatan.

Jelasnya, walaupun senjata api bukan sesuatu yang baharu bagi RELA memandangkan latihan mengendalikannya diadakan setiap tahun, namun sudah tiba masanya penggunaannya dibenarkan kepada anggota.

Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

“Saya dimaklumkan setiap tahun anggota RELA diberi latihan dalam mengendalikan senjata api kerana ada operasi yang mengkehendaki mereka membawa senjata. Namun, kita perlu perkasakan lagi RELA, contoh dalam operasi berisiko.

“Mereka jangan dibekalkan cota saja tetapi juga senjata bukan saja menjaga keselamatan penduduk, malah untuk menjaga keselamatan diri mereka juga kerana cota saja tidak cukup,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Bakti RELA dan Dialog Bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri di Kampung Tatahan, Inanam, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah RELA Sabah, Mohd Pauzi Jhumat.

Mohd Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata beliau sendiri pernah menyentuh mengenai perkara itu sebelum ini, khususnya yang berkaitan dengan keperluan anggota RELA bertugas di Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

“Saya sudah sentuh juga sebelum ini mengenai RELA di ESSZONE. Kawasan itu masih berbahaya. Sebab itu ada perintah berkurung di sana. Jadi, anggota RELA di sana wajar dibekalkan senjata, bukan saja untuk menjaga keselamatan kampung, malah diri mereka,” katanya.

Beliau berkata, keperluan itu berdasarkan pertimbangan keselamatan dan kedudukan anggota RELA yang hanya dibayar elaun mengikut tempoh jam bertugas, dianggap tidak berbaloi berbanding risiko keselamatan dihadapi mereka.

Sementara itu, Mohd Azis berkata, beliau akan mencadangkan agar kerajaan menyediakan peruntukan khas kepada RELA bagi melaksanakan program Bakti RELA khususnya dalam membaik pulih rumah penduduk daif di negeri ini.

“Bagi saya, Bakti RELA wajar diteruskan dan saya minta Pengarah RELA Sabah buat kolaborasi dengan Pejabat Parlimen saya untuk kita lihat masyarakat yang perlu bantuan baik pulih rumah.

“Satu projek pilot akan kita buat dan kita mencadangkan kerajaan memberi peruntukan kepada RELA bagi menjayakan program ini,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *