Taman Negara Bukit Tawau Akan Diwartakan

TAWAU: Kawasan rekreasi Bukit Tawau bakal diwartakan sebagai Taman Negara sekali gus menjadi daya tarikan pelancongan terbaharu di daerah itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kawasan seluas lebih 40 hektar di Bukit Tawau untuk program berkenaan.

“Lokasi itu sangat strategik kerana dilengkapi dengan elemen alam sekitar seperti air terjun, aliran air panas, bukit, hidupan liar dan kaya dengan pokok hutan.

“Penaiktarafan Bukit Tawau itu antara perancangan jangka masa panjang kerajaan negeri dalam menyediakan Tawau sebagai hub pelancongan baharu negara,” katanya kepada media semalam.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew. – Foto BERNAMA

Sementara itu, beliau menyifatkan penerbangan antarabangsa yang semakin bertambah di Lapangan Terbang Tawau (LTT) dilihat mampu menjadikan daerah ini berkembang sebagai hub pelancongan pada masa akan datang.

“Sebelum ini, kita membuka penerbangan antarabangsa dari Brunei dan selepas ini China terus ke LTT.

“Malah, mungkin akan ada penerbangan langsung dari Makasar, Indonesia selepas ini,” katanya.

Christina memaklumkan pihaknya ada menerima jemputan daripada Kementerian Pelancongan di Indonesia untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan mengenai kerjasama strategik pelancongan khususnya menerusi Tawau.

“Perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan juga bakal menjadikan daerah ini menjadi tumpuan dalam banyak perkara termasuk berkaitan hub perubatan dan pendidikan selain industri pelancongan itu sendiri.

“Dijangka perbincangan membabitkan kedua-dua pihak itu akan dilakukan tahun depan,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *