Perlu Kaji Polisi Sewa Kepada Konsep Sewa Beli PPR Di Sabah – Menteri KPKT

TAWAU; 24 NOVEMBER 2019 (Ahad) – Kajian menyeluruh perlu dilakukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Sabah sekiranya menukarkan polisi sewa seumur hidup kepada konsep sewa beli bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ini termasuklah mengkaji keperluan dan kebolehan untuk menggunakan konsep berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Bukit Tawau di Tawa.

Dalam pada itu, Zuraida turut menyambut baik saranan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri KPKT Sabah, Datuk Jaujan Sambakong agar rumah PPR yang telah siap dibina tetapi masih kosong di negeri ini segera diduduki.

Justeru katanya, KPKT akan memastikan dalam tempoh enam bulan, setiap rumah yang telah siap sepenuhnya akan diisi dan permohonan perlu diteliti agar ia hanya ditawarkan kepada penyewa yang layak.

Mengulas berkenaan lambakan permohonan kediaman PPR di Tawau yang mencecah sehingga lebih 10-ribu pemohon, Zuraida berkata, pihaknya akan berusaha dan meneliti keperluan itu khususnya untuk mereka yang berpendapatan rendah atau B40.

Jelasnya, ia termasuklah menggalakkan kerjasama pemaju swasta untuk membina Rumah Mampu Milik di Tawau yang mengikut dasar mampu milik dengan harga tidak lebih 300-ribu ringgit.

Berkenaan majlis itu, sebanyak 470 ketua isi rumah menerima surat tawaran sewa 470 unit kediaman PPR Taman Sri Bukit Tawau.

Sementara itu, beberapa penyewa yang ditemui pemberita termasuk penyewa dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) menzahirkan kesyukuran dan keterujaan selepas mereka ditawarkan menduduki rumah PPR terbabit.

PPR Taman Sri Bukit Tawau itu turut dilengkapi dengan kemudahan Dewan Serbaguna, surau, taman permainan kanak-kanak dan kedai bagi memastikan suasana kediaman lebih kondusif.

#BESTAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *